PUTATAN: Dugaan Ramadan buat beberapa keluarga apabila tujuh rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Sekambu Petagas, di sini, petang ini.
Lebih menyedihkan, ada antara mangsa sudah membuat persiapan awal Aidilfitri termasuk membeli barangan keperluan raya, namun semuanya musnah dijilat api sedangkan hari lebaran hanya berbaki beberapa hari lagi.
Kebakaran itu memusnahkan keseluruhan tujuh rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 960 meter persegi setiap satu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang.
Beliau berkata, susulan itu jentera dari BBP Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.

“Operasi pemadaman berjaya dikawal pada jam 3.10 petang selepas pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran daripada terus merebak.
“Seramai 34 anggota bomba bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT dan Water Tanker terbabit dalam operasi pemadaman dengan bantuan PDRM, SESB dan bomba komuniti,” katanya.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera, manakala operasi kini tertumpu kepada memadamkan bara-bara api dan memastikan kebakaran tidak kembali merebak.
“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. – Info X