KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Datuk Yusri Yusuf’ diburu polis Sabah selepas dipercayai terbabit dalam lapan kes penipuan melibatkan projek naiktaraf jalan raya yang tidak wujud dengan anggaran kerugian mencecah RM1.93 juta.
Lelaki terbabit disyaki melakukan penipuan dengan mendakwa mampu mendapatkan kelulusan bagi projek naiktaraf jalan di beberapa daerah, di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Idris Abdullah berkata, siasatan mendapati suspek memperkenalkan dirinya sebagai Datuk Yusri dan menawarkan projek naik taraf jalan di beberapa daerah di negeri ini.
“Bagi mendapatkan projek berkenaan, mangsa diminta membuat bayaran pendahuluan antara RM30,000 hingga RM650,000.
“Semua mangsa yang terpedaya kemudiannya membuat transaksi pembayaran deposit kepada suspek sehingga kerugian keseluruhan mencecah RM1.93 juta,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Idris berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes Tilmanshah Wasli ditalian 0165785962 atau 088-529761 bagi membantu siasatan polis,” katanya. – Info X