KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) membayar zakat perniagaan berjumlah RM500,000 bagi 2025 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.
Zakat berkenaan disampaikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari yang mewakili Pusat Zakat Sabah pada satu majlis di Hyatt Regency Kinabalu, pada Sabtu.
Japlin berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan saja memainkan peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, malah turut komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, kita bukan saja memikul tanggungjawab menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.

Turut hadir ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof; Timbalan Yang Dipetua MUIS, Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad dan pengurusan CIS.
Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar Bersama 60 anak yatim dan asnaf dari beberapa institusi kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah.
Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM2,000.
Japlin berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan dan membantu golongan asnaf serta masyarakat yang memerlukan di Sabah.
Majlis itu, katanya turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, khususnya sepanjang Ramadan. – Info X