PUTATAN: Rakyat di Sabah masih menikmati subsidi petrol dan diesel meskipun harga pasaran bahan api itu naik mendadak berikutan ketegangan yang berlaku di Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata penerusan subsidi itu sejajar komitmen Kerajaan Madani terus melindungi rakyat rakyat daripada kesan kenaikan bahan api global.
Katanya, perlindungan itu dibuat dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI dan harga diesel khusus untuk Sabah dan Sarawak.
“Harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaannya supaya rakyat tidak terbeban.
“Hakikatnya, kerajaan kini menanggung sekitar RM3.2 bilion setiap bulan untuk subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion bagi RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel.
“Ini membuktikan komitmen besar kerajaan dalam melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global.
“Kerajaan Madani juga mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak demi memastikan kos pengangkutan, logistik serta keperluan harian rakyat di kedua-dua wilayah itu tidak meningkat secara mendadak,” katanya pada program bersama media di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata langkah berkenaan penting bagi melindungi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan darat dan laut untuk bekalan barangan.
Katanya, berbanding negara jiran di ASEAN, Malaysia masih antara negara dengan harga petrol paling rendah.
“Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” katanya.
Sementara itu, Mustapha menyatakan harapannya agar rakyat memahami realiti ekonomi semasa dan menggunakan subsidi dengan lebih berhemah.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu, kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, namun menghadapi cabaran global hari ini memerlukan kerajaan dan rakyat bergerak sebagai satu pasukan dalam sebuah negara Malaysia yang berdaulat,” katanya. – Info X