KOTA KINABALU: Permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah atau stay of execution yang difailkan Kerajaan Persekutuan tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, permohonan itu sebaliknya bertujuan memberi ruang kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri meneruskan rundingan serta penelitian lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.
Beliau berkata, isu tuntutan 40 peratus pemberian khas itu yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan adalah perkara penting kerana ia membabitkan hak perlembagaan negeri berkenaan.
“Sejak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan perkara ini ditangani secara menyeluruh melalui proses perundangan serta rundingan antara kedua-dua pihak.
“Pada 14 November 2025, Jabatan Peguam Negara Malaysia memfailkan notis rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, selaras dengan tindakan berkenaan, kerajaan Persekutuan turut memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah di Mahkamah Rayuan Malaysia sementara menunggu keputusan rayuan.
Katanya, sejak November 2025 beberapa siri mesyuarat turut diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil berkaitan.
Dalam proses itu, katanya kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025.
“Pada masa sama, usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya dari tempoh yang dikenali sebagai ‘The Lost Years’, yang sebahagian besar direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.
Menurutnya, permohonan penggantungan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga dibuat bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Mustapha berkata tempoh 180 hari berkaitan pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan.
“Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan walaupun proses rayuan masih belum didengar,” katanya.
Beliau berkata, permohonan penggantungan itu dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 31 Mac ini.
Pada masa sama, beliau berkata pendirian kerajaan negeri Sabah dan Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan stay of execution berkenaan wajar dihormati.
Katanya, dalam sistem demokrasi dan perundangan yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang wajar serta sebahagian daripada proses semak dan imbang.
“Namun saya percaya matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil demi kepentingan rakyat negeri ini,” katanya. – Info X