Search

Harga diesel subsidi di Sabah Sarawak kekal RM2.15 – PM

March 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak masih kekal pada kadar RM2.15 seliter walaupun kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung subsidi yang besar berikutan kenaikan harga minyak dunia ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan itu berkata kerajaan dijangka menanggung subsidi hingga RM4.6 bilion pada tahun ini jika harga semasa diesel tidak berubah.

Pada tahun lalu, katanya subsidi diesel di Sabah dan Sarawak hanya RM2 bilion atau masing-masing RM1 bilion berdasarkan harga diesel sebelum ini.

“Berapa subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak tahun lalu? RM2 bilion dan setakat ini Kerajaan Persekutuan harus bayar kepada Sabah dan Sarawak RM4.6 bilion, RM2 bilion untuk Sabah dan RM2 bilion lebih untuk Sarawak .

“Tapi, tanggungjawab kita meringankan nasib rakyat. Berapa harga diesel di pam, RM2.15 dan berapa kos sebenar, RM4.30, dua kali ganda.

“Setiap kali beli minyak RM2.15, kos sebenar RM4.30, siapa yang bayar lebih? Kerajaan Persekutuan, bila kita faham ini maka kita hiduplah dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, di sini, pada Ahad.

Program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Anwar berkata, walaupun berlaku lonjakan harga minyak dunia yang turut menyebabkan kenaikan harga pasaran diesel di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga diesel RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak dan kadar itu kekal buat masa ini.

Jelasnya, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia pada kadar RM1.99 seliter.

“Selain di Brunei, inilah harga terendah di dunia. Dengan mengekalkan harga pada RM1.99 seliter, subsidi Kerajaan untuk BUDI95 meningkat daripada sekitar RM0.3 bilion kepada RM2 bilion sebulan.

“Kalau kekal pada harga semasa, ini membabitkan subsidi RM24 bilion setahun,” katanya. – Info X