KOTA MARUDU: Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Menggatal, Kota Kinabalu ditemui semula kira-kira 110 kilometer dari lokasi kejadian selepas dikesan polis dalam rondaan pencegahan jenayah di Taman Marudu, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, anggota Rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Kota Marudu terserempak dengan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, dua anggota MPV iaitu Koperal Razinnizam Jalil dan Koperal Ismail Sarani yang sedang menjalankan rondaan kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas motosikal terbabit.
“Hasil semakan nombor casis dan enjin melalui sistem MCAD mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang berdasarkan laporan polis Menggatal dengan nombor laporan RPT/13703/2025.
“Kenderaan itu dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun turut ditahan di lokasi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek bersama motosikal berkenaan kemudian dibawa ke balai polis sebelum kes tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
Simiun turut menasihatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X