Search

700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran stor di Tuaran

March 15, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Sebanyak 700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kenderaan terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.10 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

Dianggarkan 700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran di Tuaran.

“Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan keseluruhan kekuatan seramai 23 anggota.

“Kebakaran melibatkan stor penyimpanan kenderaan terpakai dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 700 buah kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran sebelum merebak ke kawasan stor yang menempatkan kenderaan berkenaan.

Kebakaran stor penyimpanan kenderaan terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, Tuaran.

Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira dua ekar, namun pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 30 kenderaan yang berada berhampiran.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dan pancutan air daripada jentera BBP Tuaran, BBP Lintas serta BBP Kota Kinabalu dengan sumber air diperoleh daripada jentera water tanker.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.31 petang dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Anggota bomba memadam kebakaran stor penyimpanan kenderaan terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, Tuaran.

Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Turut hadir Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Rashid bin Daud. – Info X