TAMBUNAN: Seorang wanita melecur di bahagian lengan selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Lubong, Jalan Lubong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 149 meter persegi dilaporkan terbakar sehingga 89 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.30 pagi sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 8.36 pagi sebelum operasi pemadaman dijalankan.
“Seorang mangsa wanita dewasa dilaporkan mengalami kecederaan melecur kira-kira 10 peratus di bahagian lengan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) di lokasi kejadian.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera serta pili bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.16 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
Operasi turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu mengawal keadaan di lokasi kejadian. – Info X