KOTA KINABALU: Bekalan beras untuk keperluan pengguna di Sabah mencukupi dan berada pada tahap selamat walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata setakat ini stok simpanan beras di Sabah mampu menampung keperluan rakyat Sabah untuk tempoh sembilan bulan.
Katanya, jumlah itu menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang oleh pemborong dan bekalan beras tempatan yang ada ketika ini.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri ini.
Jamawi berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Bernas Negeri Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan mengedarkan bekalan beras di negeri ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi itu.
Katanya, Bernas memaklumkan bahawa bekalan beras adalah mencukupi, manakala kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara.
“Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang dilantik oleh Bernas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini.
Dalam masa sama, Jamawi berkata, kementeriannya mengambil langkah proaktif sejak awal lagi bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah.
Beliau berkata, satu sesi libat urus diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.
Selain itu, libat urus turut diadakan dengan pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi membincangkan isu-isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan itu.
“Hasil perbincangan itu, kita telah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan beras di Sabah,” katanya.
Jamawi berkata, kerajaan juga menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar.
Katanya, kawasan baharu itu melibatkan lokasi di Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.
Langkah itu, katanya bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang.
“Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan padi dan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa.
“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun Kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya. – Info X