Search

Remaja jatuh sungai ditemui lemas

March 15, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai sebelum gagal timbul berdasarkan maklumat awal yang dimaklumkan oleh rakan mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang.

“Sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi.

“Menurut maklumat awal, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul sebelum rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang awam yang berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia.

“Pasukan bomba kemudian mengambil maklumat di lokasi kejadian dan memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan tiga anggota BBP Tuaran yang digerakkan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max. – Info X