Search

PGA, KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel, petrol di Semporna

March 16, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Cubaan dua lelaki dipercayai menyeleweng minyak diesel dan petrol gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Bravo 1) di sebuah stesen minyak di Kilometer 3, di sini, petang semalam.

Serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu dijalankan Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pagi ini, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan dibuat ke atas sebuah Toyota Hilux di lokasi berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 13 gelen putih berisi diesel, empat gelen putih berisi petrol serta satu gelen kosong yang disimpan tanpa sebarang dokumen atau permit jual beli sah.

“Dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan turut ditahan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli minyak diesel dan petrol melebihi had yang dibenarkan tanpa permit sah sebelum dihantar ke sebuah resort di kawasan perairan Semporna,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,025.75 merangkumi bahan bakar bernilai RM1,025.75 serta sebuah Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM130,000.

“Kes diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Operasi itu sekali gus memperlihatkan ketegasan serta komitmen Task Force Perisikan Batalion 22 PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan minyak di kawasan tanggungjawab terutama di perairan dan sempadan Sabah. – Info X