SEMPORNA: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang selepas tidak ditemui di pos penempatan Pulau Pandanan, di sini, sejak pagi Jumaat lalu.
Anggota tentera terbabit dikenali sebagai Fredenick anak Petrus, 21, berketurunan Iban dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor.
Kehilangan mangsa disedari kira-kira jam 7 pagi pada 14 Mac lalu ketika pemeriksaan barisan pagi di pos penempatan berkenaan.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Semporna, hari ini, pegawai renjer tentera, Mohd Azhar Sainuddin, memaklumkan bahawa anggotanya itu tidak berada di pos penempatan Pulau Pandanan semasa pemeriksaan dilakukan.
“Susulan itu, usaha pencarian segera dijalankan oleh anggota di sekitar kawasan pos penempatan terbabit, namun mangsa masih gagal ditemui,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui mangsa diminta tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu mengesan mangsa,” katanya. – Info X