Search

Penunggang motosikal maut disyaki digilis kenderaan

March 16, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai digilis sebuah kenderaan dalam kemalangan di Jalan Tamparuli – Ranau berhampiran simpang Kampung Kiau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.05 petang, mangsa lelaki tempatan berusia 20 tahun yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Belud, Asisten Superintendan Polis (ASP) Ahmad Fathie Md Salleh berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Ranau menuju ke Kota Kinabalu sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan lurus menuruni jalan curam.

“Mangsa kemudian terbabas dan terjatuh di atas jalan sebelum dipercayai digilis sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian di Jalan Tamparuli – Ranau berhampiran simpang Kampung Kiau, Kota Belud.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tujuan bedah siasat.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai atau mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa di talian 013-2006086.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik,” katanya. – Info X