LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU) dua tahun lalu.
Tertuduh warga Indonesia tanpa dokumen sah berumur 79 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan pada prosiding penghakiman di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag, di Mahkamah Lahad Datu, di sini, pada Isnin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga kanak-kanak perempuan OKU lembam berusia 10 tahun ketika kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Tungku, dekat sini, pada 2024.
Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Februari lalu menyaksikan seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan bagi pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao.
Tertuduh pula yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri.
Juhn Tao dalam hujahnya menjelaskan kepentingan awam perlu diberi pertimbangan utama oleh mahkamah dalam kes membabitkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, lebih-lebih lagi mangsa adalah seorang OKU.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap dikuatkuasa mulai tarikh sabitan hari ini, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh hukuman mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Ends