PAPAR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan di Kilometer 42.5 Jalan Kimanis – Keningau, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, kemalangan membabitkan Perodua Viva dan Isuzu D Max itu mengorbankan pemandu Viva berusia 41 tahun yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang datang dari arah Keningau menuju ke Bongawan hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit.
“Kenderaan berkenaan dipercayai berpusing beberapa kali sebelum memasuki laluan bertentangan lalu melanggar Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Viva mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya ketika dihubung, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
“Pemandu Isuzu D Max berusia 32 tahun tidak mengalami kecederaan dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu juga akan dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan teknikal,” katanya.
Heryan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dengan lebih berhemah dan berhati-hati terutama ketika melalui laluan selekoh dan kawasan berbukit.
“Pemandu juga dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan termasuk memeriksa sistem brek dan keadaan tayar.
“Ketika melalui laluan menuruni bukit, pemandu disarankan menggunakan gear rendah bagi membantu mengawal kelajuan kenderaan dan mengurangkan tekanan kepada sistem brek,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan setiap pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan serta peka terhadap keadaan jalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X