TAWAU: Hanya kerana menegur rakan sekerja yang belum memasak nasi, seorang lelaki cedera selepas ditetak menggunakan pisau pemotong ikan dalam kejadian di sebuah restoran di Kubota Sentral, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tangan kiri sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besar Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek berada di tempat kerja di restoran berkenaan.
“Suspek dipercayai bertindak di luar kawalan selepas ditegur mangsa sebelum menetak tangan kiri mangsa menggunakan pisau pemotong ikan.
“Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat sebelum sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 21 tahun yang juga pekerja restoran berkenaan berjaya ditahan di sekitar tepi jalan Jalan Habib Hussein.
Katanya, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 33 sentimeter serta sekeping plastik putih yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” katanya. – Info X