KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kawasan kebun berhampiran rumahnya di Kampung Meliau, Tongod, sejak kelmarin kini sedang dikesan pasukan penyelamat.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Nizam Dahlan, 32, dilaporkan keluar ke kawasan kebun kira-kira jam 11 pagi, namun tidak pulang semula sehingga mencetuskan kebimbangan keluarganya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.17 petang, pada Ahad lalu.
Menurutnya, sepasukan tiga anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 148 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Menurut abang kandung mangsa, lelaki berkenaan keluar ke kebun berhampiran rumah sebelum dilaporkan hilang dan tidak pulang sehingga kini.
“Mangsa juga difahamkan mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira 7.25 malam sebelum mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Namun katanya, operasi SAR ditangguhkan pada 8.10 malam berikutan keadaan gelap serta ketiadaan liputan komunikasi GIRN dan talian telefon di kawasan berkenaan.
“Operasi akan disambung semula pada pagi ini bagi meneruskan usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemui,” katanya. – Info X