KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah melancarkan Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 yang bermula semalam hingga 29 Mac bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya lebih selamat sepanjang musim perayaan.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, operasi itu turut diselaraskan bersama Kempen Keselamatan Jalan Raya “Pandu Cermat, Sampai Selamat” dengan memberi fokus kepada pengesanan kesalahan lalu lintas serta pemantauan di laluan utama negeri ini.
“Antara sembilan kesalahan utama yang menjadi tumpuan penguatkuasaan ialah tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan serta tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar.
“Selain itu, kesalahan memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan serta membawa muatan secara berbahaya turut menjadi fokus penguatkuasaan sepanjang operasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Inanam, di sini, semalam.
Beliau berkata, JPJ Sabah juga melaksanakan larangan pemanduan kenderaan perkhidmatan barangan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri.
Katanya, pemeriksaan teknikal turut dijalankan terhadap kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas di terminal yang ditetapkan bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
“Pemeriksaan ini melibatkan aspek penggunaan tayar mengikut piawaian, sistem brek, lampu serta pemasangan Speed Limitation Device (SLD) pada bas ekspres dan bas persiaran,” katanya.

Mohd Harris berkata, operasi khas berkenaan melibatkan 286 anggota penguat kuasa daripada semua bahagian JPJ Sabah termasuk di cawangan dan stesen penguat kuasa di seluruh negeri.
Menurutnya, berdasarkan statistik Ops Hari Raya Aidilfitri 2025, sebanyak 28,281 kenderaan diperiksa, dengan 3,588 kenderaan diambil tindakan, 3,778 notis saman dikeluarkan dan 20 kenderaan disita.
Dalam pada itu, beliau berkata JPJ Sabah turut mempergiatkan advokasi keselamatan jalan raya menerusi lebih 30 program kesedaran termasuk pameran, ceramah keselamatan, edaran kit keselamatan jalan raya serta kempen bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sabah (MKJR) dan rakan strategik termasuk pihak media.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas melalui aplikasi MyJPJ, selain saluran SISPAA, emel [email protected] dan [email protected] bagi membantu JPJ mengambil tindakan pantas terhadap pesalah jalan raya.
“JPJ Sabah juga akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang- undang dan peraturan jalan raya,” katanya. – Info X