KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api menyatakan sokongan terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti yang ketika ini berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Bahagian PGRS Api-Api, Datuk Faisyal Diego, berkata penstrukturan itu bertujuan memperkukuh struktur organisasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran parti di semua peringkat.
Katanya, cadangan untuk mengubah sistem bahagian mengikut kawasan DUN kepada kawasan Parlimen itu adalah langkah yang strategik dan sesuai untuk dilaksanakan.
“Cadangan untuk menyusun semula bahagian daripada 73 bahagian kepada 25 bahagian dilihat sebagai satu langkah strategik yang mampu memperkemas penyelarasan kepimpinan, memperkukuhkan organisasi parti dan meningkatkan keberkesanan gerak kerja di peringkat akar umbi.
“Langkah ini juga diyakini dapat mewujudkan satu struktur yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat serta cabaran landskap politik masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, bagi bahagian Api-Api yang diketuainya, perkara itu dibincang pada Mesyuarat Bahagian dan Majlis Berbuka Puasa pada petang Isnin.
Pada mesyuarat itu, katanya semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian sebulat suara bersetuju dan menyokong cadangan penstrukturan semula bahagian Gagasan Rakyat sebagai satu langkah yang tepat demi memperkukuhkan lagi organisasi parti.
Pada masa yang sama, katanya Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api merakamkan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk terus memimpin negeri dengan komitmen tinggi terhadap kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih mampan melalui pendekatan pentadbiran yang inklusif, stabil dan berorientasikan masa depan.
“Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api berdiri teguh menyokong sepenuhnya usaha penstrukturan semula ini serta komited untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah. – Info X