Search

Yamada Consulting & Spire buka pejabat di Malaysia, perkukuh pelaburan Jepun

March 17, 2026

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: Yamada Consulting & Spire melakar satu lagi pencapaian penting apabila membuka ruang pejabatnya di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan syarikat itu dalam menghubungkan pelaburan Jepun dengan syarikat tempatan.

Majlis perasmian pejabat baharu yang terletak di Menara Mercu Aspire itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Kurup.

Ketua Pengarah Urusan Yamada Consulting & Spire (ASEAN & India), Go Sakano berkata, pembukaan pejabat itu menandakan komitmen syarikat dalam memperluas aktiviti melibatkan pelaburan Jepun, termasuk penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta penyelidikan pasaran di Malaysia.

Arthur dalam ucapannya berkata, hubungan antara sumber asli dan pelaburan langsung asing (FDI) kini berada pada tahap kritikal berikutan situasi geopolitik global semasa.

“Hasrat kerajaan Malaysia untuk memperkukuh FDI serta keselamatan rantaian bekalan bagi menarik pelaburan dan meningkatkan rantaian nilai menjadi semakin mendesak,” katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif yang akan diberi tumpuan oleh kementeriannya, termasuk memastikan ketelusan dalam pengurusan penyusutan sumber asli, mengintegrasikan nilai alam semula jadi dalam perancangan ekonomi negara serta meneroka penyelesaian berasaskan alam bagi menangani perubahan iklim.

Sementara itu, Sakano menegaskan bahawa konsistensi dan ketelusan dasar merupakan faktor utama dalam menarik pelaburan dari Jepun.

Beliau turut memuji Malaysia yang berjaya beralih daripada kebergantungan kepada aktiviti pengekstrakan sumber kepada pendekatan lebih strategik berasaskan inovasi, khususnya dalam industri teknologi tinggi dan hijau.

“Corak kerjasama kini berubah daripada pembuatan berasaskan kos kepada kolaborasi strategik yang dipacu inovasi.

“Pendekatan ‘co-creation’ menyaksikan syarikat Malaysia semakin berperanan sebagai rakan strategik dan penyedia penyelesaian dalam rantaian nilai global,” katanya.

Yamada Consulting & Spire bermula sebagai firma perunding perancangan kewangan pada 1989 sebelum disenaraikan di Jepun pada tahun 2000.

Pada 2024, Yamada Consulting bergabung dengan Spire Research and Consulting bagi membentuk organisasi baharu yang kini beroperasi di Asia Tenggara, Asia Selatan serta rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang M&A, penyelidikan pasaran dan khidmat nasihat pertumbuhan, syarikat itu terus memperluas kepakaran merentas pelbagai industri dan negara. – Info X