Search

Aldrin Wong kini Presiden baharu Persatuan Elektrik Sabah

March 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Elektrik Sabah (PES) mengumumkan pelantikan Presiden, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa baharu bagi sesi 2026 – 2027 dalam satu majlis rasmi yang diadakan di pejabat persatuan itu pada 13 Mac lalu.

Pelantikan itu menyaksikan Aldrin Wong Fung Lyong dipilih sebagai Presiden baharu PES bagi menerajui hala tuju persatuan dalam memperkukuh pembangunan industri elektrik di Sabah.

Turut menganggotai barisan kepimpinan baharu ialah Danny Wong Yew Hoong sebagai Naib Presiden 1, Simon Poh Chia Chun (Naib Presiden 2), Ho Shi Yin (Setiausaha) dan Evon Ling Pei Hsia sebagai Bendahari.

Selain itu, Woo Soo Poo dilantik sebagai Penasihat Kanan manakala Lawrence Yapp Kong Fen sebagai Presiden Terdahulu Terdekat.

Barisan Lembaga Pengarah turut dianggotai Shah Fareed Awang Sham, Chong Chi Chung, Vincent Tsen Vui Shung, Ir Peter Wong Neng Kwong, Yong Yee Sun, Chia Cheng Hui, Fo Tzi Min dan Ng Yoke Wah.

Aldrin berkata, pembangunan sesebuah persatuan elektrik memerlukan pendekatan strategik yang berteraskan tiga tonggak utama iaitu pengetahuan asas elektrik, pembangunan ekonomi komuniti dan penambahbaikan alam sekitar.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada strategi itu, peningkatan keahlian menjadi keutamaan termasuk mengalu-alukan firma profesional seperti perunding mekanikal dan elektrikal bagi memperkukuh asas persatuan.

“Pada masa sama PES juga berusaha meningkatkan keupayaan kontraktor elektrik dengan memastikan mereka memiliki lesen sah serta mematuhi keperluan pihak berkuasa berkaitan.

“Ia termasuk Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Sabah Electricity, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP),” katanya.

Beliau berkata, PES juga menggalakkan penyertaan pembekal dan pengilang dalam sektor mekanikal serta elektrikal sebagai ahli bagi memberi manfaat kepada komuniti industri, khususnya dalam perkongsian maklumat kejuruteraan dan teknologi terkini.

“Kepimpinan baharu turut memberi tumpuan kepada usaha membina pasukan yang padu serta mewujudkan kefahaman bersama mengenai keadaan semasa dan hala tuju masa depan persatuan.

“Antara inisiatif awal ialah aktiviti pembinaan pasukan, penjelasan peranan tadbir urus serta penilaian semula misi, visi dan nilai persatuan bagi membina kepercayaan serta komunikasi yang jelas dalam organisasi,” katanya.

Tambah beliau, pelan tindakan PES turut merangkumi usaha meningkatkan kesedaran mengenai peranan dan nilai persatuan dalam pasaran serta memperkasa pengetahuan teknikal dan produk dalam kalangan ahli.

Selain itu, katanya persatuan itu akan menetapkan jadual tahunan program latihan, membangunkan rangka kerja pembelajaran berterusan serta bekerjasama dengan institusi tempatan untuk menawarkan kursus jangka pendek bagi meningkatkan profesionalisme ahli dan tenaga kerja mereka.

Dalam usaha memastikan PES terus relevan dalam industri, persatuan itu juga akan berkongsi kemas kini peraturan serta maklumat industri secara berkala di media sosial, selain menampilkan sorotan ahli.

Di samping itu, PES turut merancang menganjurkan makan malam tahunan serta pertemuan sosial berkala bagi mengukuhkan hubungan dan jaringan dalam kalangan ahli.

Aldrin berkata, memimpin sesebuah persatuan adalah seperti larian maraton, bukan pecutan, yang memerlukan fokus terhadap tujuan yang jelas, tadbir urus kukuh serta penyampaian nilai berterusan kepada ahli.

“Sesebuah persatuan yang kukuh dipimpin oleh pasukan pemimpin yang komited, bukan hanya seorang individu. Setiap jawatankuasa akan mempunyai peranan jelas selaras dengan pelan strategik bagi menyokong lembaga dalam membuat keputusan dan merancang strategi jangka panjang,” katanya. – Info X