Search

Bantuan khas RM57,250 untuk guru SAN Pekan Tambunan

March 17, 2026

Info X Reporters

TAMBUNAN: Kerajaan negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDN&P), Jabatan Ketua Menteri menyalurkan bantuan khas berjumlah RM57,250 bagi membantu guru yang terjejas dalam insiden kebakaran Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan.

Bantuan khas berupa wang tunai itu disampaikan Timbalan Setiausaha PHEDN&P, Mohd Rizan Abran dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Pejabat Daerah Tambunan, di sini, pada Selasa.

Mohd Rizan berharap inisiatif itu dapat membantu meringankan beban guru terbabit yang kehilangan pelbagai peralatan pengajaran serta barangan peribadi akibat kebakaran yang berlaku pada 12 Oktober 2025.

Katanya, kejadian itu bukan saja memusnahkan sebahagian kemudahan sekolah, malah turut menyebabkan bahan pengajaran, peralatan elektronik dan harta peribadi milik guru hangus dijilat api.

“Kerajaan negeri prihatin dengan kesukaran yang dihadapi mangsa terlibat dan berharap bantuan khas ini dapat membantu mereka menggantikan keperluan asas serta peralatan mengajar yang musnah,” katanya.

Antara yang menerima bantuan khas itu ialah Guru Besar, Ahmad Subri Janing yang kehilangan komputer riba dan bahan pengajaran apabila pejabat dan peralatan kerja musnah dalam kebakaran terbabit.

Turut menerima bantuan khas ialah beberapa guru lain yang kehilangan bahan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), fail pengajaran, buku rujukan, peralatan audio seperti pembesar suara serta barangan peribadi termasuk peralatan rumah dan kenderaan. – Info X