KOTA KINABALU: Pelbagai pihak diminta tidak cuba memanipulasi fakta berhubung kes penangkapan seorang lelaki tanpa dokumen yang juga pelajar sebuah sekolah alternatif dan didakwa masih di bawah umur.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dalam satu kenyataan, menjelaskan individu terbabit bukan lagi di bawah umur atau masih berstatus kanak-kanak.
Katanya, individu itu dianggarkan berusia sekitar 19 tahun berdasarkan beberapa maklumat termasuk rekod Kad Vaksinasi pada 2020 yang menunjukkan beliau berusia 13 tahun pada ketika itu.
“Ini secara jelas menunjukkan bahawa naratif yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak kononnya individu tersebut masih berstatus kanak-kanak adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya mengulas isu tular di media sosial.
Beliau berkata, dakwaan bahawa individu terbabit berasal daripada komuniti Bajau Laut juga tidak dapat dimuktamadkan.
Jelasnya, ketiadaan dokumen rasmi menjadikan soal identiti termasuk latar belakang bangsa atau kewarganegaraan sebagai sesuatu yang kompleks dan hanya boleh ditentukan melalui proses siasatan oleh pihak berkuasa.
“Justeru, isu ini perlu dilihat berasaskan fakta dan peruntukan undang-undang, bukan sentimen atau naratif yang dibina tanpa asas yang kukuh.
“Dalam konteks ini juga, adalah tidak wajar untuk mengheret serta memanipulasi kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor mengenai perlindungan kepada komuniti Bajau Laut bagi memutarbelitkan fakta kes.
“Prinsip perlindungan kepada mana-mana komuniti tidak pernah sama sekali bermaksud undang-undang negara boleh diketepikan,” katanya.
Beliau berkata, dalam mana-mana negara berdaulat, dokumen pengenalan diri menjadi asas pentadbiran undang-undang dan keselamatan negara.
Malah, katanya kes seperti itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jelas memperuntukkan tindakan terhadap individu yang gagal mengemukakan dokumen sah.
Tegasnya, isu hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatasi atau mengabaikan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, kita perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional dan menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Biarlah kes ini ditangani dan diadili mengikut lunas undang-undang negara,” katanya. – Info X