Search

PRU16: Kerjasama antara parti pertahan Kerajaan Perpaduan pasca PRN17

March 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka mengambil pendekatan bekerjasama dengan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bayangan itu disuarakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media di SICC pada Selasa.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dapat dikekalkan.

Katanya, sebagai pemimpin GRS, mereka perlu memastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu dipertahankan.

“Setakat ini kita akan mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Sabah.

“Tanggungjawab kami ialah mempertahankan parti yang diterajui Hajiji dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya,” katanya.

Beliau ditanya mengenai hala tuju Gagasan Rakyat dan GRS pada PRU16 nanti, sama ada memilih untuk bergerak sendiri atau bekerjasama dengan parti lain seperti dilakukan pada PRN17.

“Memang setakat ini apa yang jelas kita akan pertahankan kerjasama yang ada, termasuk dengan PH dan begitu juga Barisan Nasional (BN) yang memang sebahagian daripada kerajaan Sabah sekarang.

“Jadi, kita akan memastikan kerajaan ini terus kukuh dan setakat ini kerjasama kita berjalan lancar. Selain itu, kita juga akan pastikan kerjasama yang baik dengan Persekutuan, kita selesa dengan keadaan kita sekarang,” katanya.

PRN17 pada 29 November lalu menyaksikan GRS kembali memerintah dengan sokongan PH, BN dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selain wakil rakyat bebas. – Info X