LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32, Jalan Lahad Datu – Tungku, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa dari arah Lahad Datu menuju ke Tungku dipercayai hilang kawalan.
Menurutnya, motosikal berkenaan kemudian memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max yang datang dari arah bertentangan.
“Kenderaan pacuan empat roda itu dipandu lelaki berusia 56 tahun bersama tiga penumpang iaitu lelaki berumur 43 dan 18 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
“Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan.
Katanya, sepanjang bulan ini sahaja, empat kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dilaporkan berlaku, kebanyakannya berpunca daripada kecuaian sendiri.
Beliau turut menyeru pihak berkaitan agar mengambil tindakan segera membaiki keadaan jalan berlubang yang boleh mengundang risiko kemalangan. – Info X