Search

Anak dibaham buaya depan mata bapa

March 17, 2026

Info X Reporters

KINABATANGAN: Malam yang sepatutnya rutin menjala udang bertukar mimpi ngeri buat seorang bapa apabila anaknya dibaham buaya di depan mata dalam kejadian di sungai Kampung Segaliud, di sini, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, bersama bapanya turun ke tebing sungai seperti kebiasaan.

Namun, tanpa diduga, kelibat seekor buaya tiba-tiba muncul sebelum menyambar mangsa dalam sekelip mata.

Kejadian berlaku pantas hingga bapanya hanya mampu melihat anaknya ditarik ke dalam air oleh reptilia ganas berkenaan.

Anggota bomba menenangkan bapa mangsa selepas anaknya dibaham buaya ketika menjala udang di sungai Kampung Segaliud, Kinabatangan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Seramai empat anggota bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai terbabit,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, operasi SAR masih diteruskan dengan pemantauan rapi di lokasi kejadian bagi mengesan mangsa.

Lokasi kejadian mangsa dibaham buaya di ketika menjala udang di sungai Kampung Segaliud, Kinabatangan.

Tragedi itu meninggalkan luka mendalam buat keluarga mangsa, terutama bapa mangsa yang terpaksa menyaksikan detik menyayat hati itu dalam keadaan tidak berdaya. – Info X