Search

Jual mercun tanpa lesen, lelaki ditahan di Semporna

March 17, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menjual mercun dan bunga api tanpa lesen dalam satu serbuan di daerah ini.

Dalam operasi itu, turut dirampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan dengan nilai keseluruhan RM313.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, lelaki berusia 27 tahun itu akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, pihak polis sebelum ini telah mengeluarkan lapan lesen dan permit bagi penjualan bunga api serta mercun daripada 11 permohonan yang diterima sempena sambutan Aidilfitri.

“Bagaimanapun, tiga permohonan ditolak dan masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjual bahan tersebut tanpa lesen sah.

“Orang ramai supaya tidak bermain mercun secara sewenang-wenangnya terutama di kawasan awam dan lokasi tumpuan orang ramai serta pelancong,” katanya.

Menurutnya, tindakan tegas boleh diambil mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat awam serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana cuai mengendalikan bahan letupan hingga membahayakan nyawa.

Susulan aduan diterima, pihaknya mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mempertingkat rondaan serta pemantauan di kawasan dikenal pasti.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak yang bermain mercun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kecederaan atau kebakaran. – Info X