KINABATANGAN: Lelaki yang dibaham buaya ketika menjala udang di Kampung Segaliud, di sini, ditemukan pagi ini.
Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat, pada jam 9.55 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Utoh, berkata sepasukan empat anggota meneruskan operasi pagi ini bersama penduduk kampung selain polis.
“Selepas lebih 30 minit pencarian diteruskan, mangsa ditemui oleh pasukan bomba dalam keadaan terapung.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28, dipercayai pergi ke sungai itu untuk menjala udang bersama bapanya.
Dalam tragedi menyayat hati itu, bapa mangsa mendakwa melihat sendiri anaknya dibaham buaya sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan. – Info X