KENINGAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 21 Keningau berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram dalam satu operasi intra dan inter agensi di kawasan Sook 17 Mac lalu.
Jurucakap PGA dalam satu kenyataan melalui laman media sosial rasmi berkata, operasi bersepadu itu melibatkan Cawangan Risik dan Task Force Batalion 21 PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah Cawangan Sook, hasil maklumat risikan diterima.

“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan berkenaan dijadikan tempat pengumpulan kayu balak yang disyaki tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk balak tidak mempunyai nombor siri yang jelas, tiada tanda Property Hammer Mark (PHM) serta ketiadaan tanda tukul Jabatan Perhutanan (FD),” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa turut menemukan pelbagai jenis kayu balak dalam jumlah besar selain beberapa kenderaan dan jentera yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah puluhan juta.
“Dalam operasi sama, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan perhutanan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, PGA akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pembalakan haram.
“Langkah itu penting bagi memastikan kelestarian sumber hutan terus terpelihara serta mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya. – Info X