Search

Siasatan kes individu tular hampir siap – Jauteh

March 18, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siasatan polis berhubung penahanan individu yang tular selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sudah berada diperingkat akhir.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.

Katanya, setakat ini terdapat pihak yang mempertikaikan dan mendakwa individu itu masih di bawah umur.

“Namun susulan dakwaan itu, pihak polis sudah mengambil beberapa langkah termasuk menjalankan pemeriksaan dan penyelidikan kesihatan bagi mengenal pasti umur sebenar individu.

“Jadi hasil keputusan penilaian awal berdasarkan pemeriksaan kesihatan secara terperinci menunjukkan individu berkenaan berusia sekitar 19 tahun,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut menjalankan beberapa lagi langkah bagi mengesahkan penentuan usia remaja itu secara lebih tepat termasuk mendapatkan pandangan perundangan serta.

“Semua laporan daripada agensi terlibat sedang dikumpulkan dan akan dimasukkan dalam kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.

“Selepas laporan lengkap diperoleh, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan arahan lanjut,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki ditahan dalam operasi cegah jenayah yang dilaksanakan di pusat beli belah One Borneo Mall, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, remaja terbabit ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah

Bagaimanapun, timbul beberapa dakwaan di laman sosial yang mendakwa individu terbabit masih di bawah umur dan ditahan ketika membeli belah untuk persiapan Aidilfitri. – Info X