Search

KADOH AGUNDONG ‘THE GIANT KILLER’ MENINGGAL DUNIA

June 30, 2022

admin

KOTA KINABALU: Datuk Kadoh Agundong yang pernah mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1985 apabila menumbangkan ketua menteri ketika itu Harris Salleh, dilaporkan meninggal dunia, tengah malam tadi.

Berita pemergian bekas pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) Sabah itu menjadi viral di media sosial sejak pagi tadi dengan beberapa pemimpin politik membuat ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Difahamkan, Kadoh, 74, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2), di sini, tengah malam tadi.

Ahli Majlis Tertinggi PBS, Stanis Buandi, dalam hantarannya di Facebook berkata,
Kadoh merupakan menteri kabinet Sabah yang pertama dari kalangan suku kaum Murut Timugon ketika era PBS pada 1985.

“Sesungguhnya keluarga besar kami kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa, yang telah mencetuskan satu gelombang politik di kalangan keluarga besar ini.

“Selamat jalan ‘The giant killer’ Datuk Kadoh Agundong,” katanya.

Ketika pemerintahan PBS, mendiang pernah dilantik sebagai menteri belia dan sukan sebelum dilantik pula sebagai menteri perumahan pada pertengahan 1980-an.

Selain PBS, Kadoh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap pernah menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan parti terakhir disertainya ialah Warisan pada 2019. – Info X