Search

Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kota Belud

March 22, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Labuan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 12.03 tengah malam.

Menurut kenyataan JBPM, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira jam 12.11 tengah malam selepas menempuh jarak sejauh enam kilometer.

Komander Operasi, PBK II Clarice Jimoh, berkata kebakaran melibatkan dua rumah berkeluasan 60×40 kaki setiap satu, yang diperbuat daripada binaan tidak kekal dan separuh kekal.

“Keseluruhan struktur kedua-dua rumah terbakar 100 peratus. Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air,” katanya.

Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada pili bomba yang terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, sekali gus menyebabkan operasi pemadaman mengambil masa lebih lama.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.53 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.23 pagi.

Seramai tujuh anggota bersama dua jentera, masing-masing satu Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS) terlibat dalam operasi berkenaan.

Turut membantu di lokasi adalah dua petugas dari Sabah Electricity. – Info X