SANDAKAN: Seorang ibu bersama anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, di sini, semalam.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala ibunya yang berumur 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, motosikal terbabit dinaiki oleh tiga sekeluarga dikatakan dalam perjalanan menuju ke arah Beluran.
Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal itu cuba memotong kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat,” katanya.
George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. – Info X