Search

‘UMS tiada kaitan dengan Suara Mahasiswa UMS’

March 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perkara itu dijelaskan UMS melalui satu kenyataan bagi menjawab beberapa hantaran tular di media sosial oleh entiti yang menggunakan nama ‘Suara Mahasiswa UMS’, termasuk dakwaan berkaitan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Sehubungan itu, UMS ingin menegaskan bahawa ‘Suara Mahasiswa UMS’ bukan merupakan entiti berdaftar di bawah universiti atau suara rasmi UMS.

“Oleh yang demikian, sebarang kenyataan atau komentar yang dikemukakan oleh pihak berkenaan adalah tidak mewakili pendirian rasmi universiti,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Dalam masa yang sama, katanya UMS memandang serius penggunaan logo universiti tanpa kebenaran oleh pihak terbabit.

Jelasnya, ia satu tindakan yang tidak sah dan mengelirukan khalayak awam.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang kekeliruan,” katanya. – Info X