KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terkunci di dalam kenderaan jenis Toyota Hilux berhampiran Bumi Kekal Kepayan, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Zainuddin Saidi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.49 petang.
Menurutnya, seramai 11 anggota dari BBP Putatan dan Kota Kinabalu segera dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kenderaan yang berkunci.

“Pasukan bomba bertindak membuka kenderaan sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.11 petang selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal. – Info X