Search

105 PENGEMIS TERMASUK KANAK-KANAK PALAUH DITAHAN

June 30, 2022

admin

KOTA KINABALU: Seramai 105 kanak-kanak dan orang dewasa dikenalpasti daripada suku kaum Palauh dan tidak memiliki kewarganegaraan ditahan dalam Operasi Bersepadu Kanak-Kanak dan Pengemis Jalanan yang dijalankan di pusat bandar raya, semalam.

Operasi berkenaan diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan MKN berkata, pasukan operasi berjaya menahan 105 kanak-kanak dan pengemis jalanan dewasa yang dikenalpasti dari suku kaum Palauh dan tidak memiliki kewarganegaraan.

“Semua yang ditahan dibawa ke Daerah Semporna menggunakan bas sewa khas dengan diiring kawal okeh MKN, DBKK dan JPKA.

“Sebaik tiba di daerah Semporna, semua yang ditahan dilepaskan ke lokasi yang ditetapkan dengan menggunakan bot khas yang diselaraskan pegawai daerah Semporna.

“Operasi ini berjaya mencapai sasaran operasi tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kerajaan menerusi agensi penguatkuasa akan terus komited dalam melaksanakan operasi seperti ini.

“Ia adalah salah satu usaha melindungi masyarakat daripada masalah yang dicetuskan oleh kebanjiran kanak-kanak dan pengemis jalanan yang sekian lama mencemarkan pemandangan di sekitar pusat bandaraya ini.

“MKN turut menghargai sebarang maklumat dan bantuan yang diberikan oleh orang awam untuk menjejaki dan menahan kumpulan kanak-kanak serta pengemis jalan dalam operasi ini.

“Operasi ini juga adalah sebahagian daripada komitmen berterusan agensi kerajaan dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat Sabah,” katanya. – Info X