Search

Datuk, cucu hilang di sungai

March 24, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lelaki warga emas bersama cucunya dikhuatiri hilang selepas dipercayai berada di kawasan Sungai Pagalan, berhampiran Taman Bersatu, Sook, di sini petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Fredoline Yariki, 60, dan cucunya, Idan, berusia lingkungan tujuh tahun, dilaporkan belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan sembilan anggota digerakkan ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 6.20 petang dan terus mendapatkan maklumat sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang persisiran sungai.

“Operasi turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba melakukan pencarian kedua-dua mangsa di sepanjang pesisir Sungai Pagalan, berhampiran Taman Bersatu, Sook, Keningau.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dipercayai hilang di kawasan sungai berkenaan dan usaha pencarian sedang giat dijalankan.

“Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.

“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X