SANDAKAN: Seorang warga tua rentung selepas sebuah rumah atas air terbakar dalam kejadian di Kampung Mumiang, dekat sini, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Lee Thung Mong, 77, ditemui rentung dalam rumah oleh pasukan Polis Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 7.19 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota bergegas ke lokasi itu yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari balai.
“Pemadaman awal dilakukan oleh penduduk kampung menggunakan pam air milik penduduk sebelum bomba tiba.
“Pasukan bomba hanya tiba di lokasi pada jam 11.40 malam dan memadam bara api untuk mengeluarkan mangsa dan memastikan tiada bahaya lain,” katanya ketika dihubungi di sini.

Jimmy berkata, pasukan bomba mengalami kesukaran untuk ke lokasi kejadian kerana tiada laluan darat, sebaliknya cuma boleh dihubungi menerusi laut.
Selain itu, katanya, keadaan air laut juga surut menyebabkan pasukannya terpaksa mendapatkan bantuan bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X