KOTA KINABALU: Pulau Sebatik diisytihar dilanda bencana kemarau susulan cuaca panas dan kering di Tawau, ketika ini.
Pengisytiharan bencana itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Joseph Pang pada jam 10 pagi Rabu.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Tawau dengan ini mengisytiharkan bencana kemarau Daerah Tawau (Pulau Sebatik),” katanya.
Difahamkan, kemarau yang melanda pulau itu menyebabkan bekalan air terjejas berikutan penurunan paras air empangan.
Ketika ini, pengeluaran air dari empangan dikatakan merosot hingga 80 peratus sejak 22 Mac lalu.
Situasi itu menyebabkan bekalan air kepada penduduk dari loji rawatan air (LRA) di pulau itu sangat terhad iaitu hanya 0.3 juta liter sehari (JLS) berbanding kapasiti sebenar 1.5 JLS
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tamang, Sungai Selipar, Sungai Laba, Sungai Lahi, Sungai Tongkang, Mentadak Baru serta kawasan sekitarnya.
Ketika ini, dilaporkan penghantaran air menggunakan lori tangki diusahakan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sebatik. – Info X