KOTA KINABALU: Hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh yang singkat diramal berlaku sepanjang peralihan monsun yang dijangka bermula pada 29 Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata peralihan monsun dijangka berlarutan sehingga Mei depan.
Katanya, permulaan fasa itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang bermula sejak 13 November 2025.
“Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, fenomena cuaca itu berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
“Orang ramai juga boleh
menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya. – Info X