Search

Cuba seludup masuk perairan, empat PATI termasuk tekong ditahan

March 25, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan sebuah bot tempatan menyeludup masuk ke perairan negara terbongkar apabila empat lelaki termasuk tekong dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), hari ini.

Bot berkenaan dipintas kira-kira tujuh batu nautika di barat Tanjung Simpang Mengayau ketika rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut dijalankan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dipintas oleh bot ronda.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu berdaftar di Malaysia, namun lesen operasinya sudah tamat tempoh, sekali gus melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Empat PATI yang ditahan APMM di barat Tanjung Simpang Mengayau, kudat.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati empat kru termasuk tekong berusia antara 27 hingga 50 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, semua kru bersama bot itu ditahan sebelum diiring ke jeti untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan.

Anggota APMM menahan bot yang membawa PATI menyusup masuk perairan negara di barat Tanjung Simpang Mengayau, kudat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat rondaan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858,” katanya. – Info X