Search

Kerajaan negeri sokong keperluan polis

March 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis sejajar peranan mereka sebagai rakan strategik utama keselamatan dan pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur.

Sehubungan itu, beliau mengulangi penekanan kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menggariskan keselamatan sebagai pemudah cara utama pertumbuhan ekonomi serta teras usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat.

Hajiji menyempurnakan gimik perasmian dengan meletakkan plak sebagai tanda pembukaan Galeri Polis Negeri Sabah.

“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” katanya pada majlis perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Kepayan, dekat sini, pada Rabu.

Beliau memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebagai Galeri Polis.

Hajiji menyifatkan galeri itu bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih dan komitmen PDRM di Sabah.

“Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara.

“Ia adalah sebuah wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahupun yang sudah bersara,” katanya.

Hajiji diiringi Jauteh melihat pameran di Galeri Polis Negeri Sabah.

Antara pameran utama di galeri itu ialah insiden pencerobohan penganas di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 yang kini menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, kewujudan galeri itu amat signifikan dan bertepatan pada
masanya sebagai wadah untuk memastikan pengorbanan wira negara terus terpahat dalam ingatan atas jasa mereka sebagai benteng utama kedaulatan negara.

Di samping itu, katanya galeri berkenaan juga boleh menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini.

“Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya.

Dalam pada itu, sempena Hari Memperingati Polis Ke-219, Ketua Menteri meminta seluruh anggota PDRM terus meningkatkan semangat dan iltizam untuk berkhidmat dengan penuh komited demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara.

Katanya, bagi mengekalkan tahap integriti dalam perkhidmatan, semua anggota polis perlu terus berkhidmat dengan disiplin dan integriti yang tinggi.

“Jadikan paparan di galeri ini sebagai pembakar semangat untuk terus memelihara maruah pasukan,” katanya. – Info X