Search

Datuk ditemui lemas, cucu masih hilang

March 25, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencuba bot bersama cucunya di Sungai Pagalan berhampiran Taman Bersatu, Sook, di sini semalam, ditemui lemas petang tadi.

Mangsa, Fredoline Yariki, 60, ditemui orang awam kira-kira jam 5.21 petang pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), sekitar tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, cucunya, Muhammad Aidan Ridwan, 10, masih belum ditemui setakat ini.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Desmon Al Mickey berkata, operasi SAR hari kedua bermula seawal jam 6.10 pagi melibatkan pasukan bomba bersama agensi lain.

“Operasi dijalankan menggunakan kaedah ‘surface searching’ di sepanjang Sungai Banjar dan Sungai Mempikit.

“Mangsa pertama iaitu datuk ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai ke sungai untuk mencuba bot baharu dibeli.

Katanya, kehilangan mereka disedari selepas mangsa tidak pulang, manakala hanya beg serta barangan peribadi ditemui di lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 6.37 petang dan akan disambung semula esok bagi mengesan mangsa kedua yang masih hilang,” katanya.

Operasi berkenaan membabitkan sembilan anggota bomba bersama agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam. – Info X