Search

Sabah berhak dapat subsidi diesel – Ewon

March 27, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Langkah kerajaan Persekutuan mengekalkan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai tindakan yang memang perlu dilaksanakan.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, berkata kedua-dua negeri berhak menikmati subsidi diesel sejajar kedudukannya sebagai pengeluar minyak dan gas utama di Malaysia.

Jelasnya, jika ada pihak di Semenanjung mempertikaikan subsidi itu, mereka perlu melihat kedudukan dan keperluan dua negeri itu terhadap bahan api berkenaan.

“Kalau ada rakan-rakan di Semenanjung yang mempersoalkan kenapa Sabah mendapat subsidi diesel, tanya dulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu.

“Sabah adalah pengeluar minyak dan mesti jelaskan kepada Sabah apa yang telah dikembalikan semula kepada rakyat Sabah.

“Jadi ini pandangan saya, jawapan saya kepada sebahagian mungkin pemimpin, sebahagian pihak di Semenanjung yang melihat kenapa Sabah diberi sedemikian, Semenanjung sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Aidilfitri UPKO, di sini, pada malam Khamis.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata sejak Akta PETRONAS dikuatkuasakan, Sabah kehilangan sumber terbesarnya iaitu gas dan minyak.

Ewon pada sambutan Aidilfitri UPKO di Putatan.

“Jadi saya pertahankan keputusan memberikan subsidi diesel, subsidi-subsidi lain yang diperlukan oleh rakyat Sabah kerana sememangnya kita berhak.

“Kita sudah subsidikan pembangunan di tempat lain, jadi kembalikan apa yang Sabah ini sepatutnya dapat yang telah hilang sejak akta-akta tertentu diperkenalkan, terutama Akta PETRONAS,” katanya.

Katanya, sebagai negeri yang menyumbang hasil gas dan minyak kepada negara, Sabah berhak mendapat semula pulangan daripada hasil minyak dan gas yang diperolehi dalam wilayah Sabah.

Beliau berkata, pihaknya menghargai keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan subsidi diesel kepada Sabah dan Sarawak sebelum ini.

“Saya terlibat membuat keputusan itu. Saya masih berada dalam Kabinet Persekutuan ketika itu dan kita pertahankan kerana Sabah adalah negeri atau kawasan yang mengeluarkan gas dan minyak.

“Saya konsisten mengatakan hasil gas dan minyak dari Sabah ini dan dari negeri-negeri pengeluar gas dan minyak inilah yang subsidikan pembangunan di beberapa negeri lain yang tidak mengeluarkan gas dan minyak.

“Untuk Sabah kita berhak mendapat pulangannya, bukan hanya pulangan pembangunannya tetapi juga hasil itu digunakan untuk keperluan domestik dalam Sabah.

“Jadi salah satu yang boleh dikembalikan itu adalah subsidi kerana rakyat Sabah berhak mendapat pulangan daripada hasil muka buminya iaitu gas dan minyak,” katanya. – Info X