Search

Ops Gempur Khas: Empat ‘kaki syabu’ dicekup di Telipok Ria

March 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketika suasana Aidilfitri masih diraikan dengan kunjungan ke rumah sanak saudara, empat lelaki ini pula ‘berkunjung’ ke tepi jalan untuk menghisap syabu sebelum dicekup dalam Ops Gempur Khas di Taman Telipok Ria, Tuaran, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 11 malam hingga 4 pagi itu, empat suspek berusia antara 21 hingga 41 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.35 gram.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Dua daripada suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah masing-masing sebanyak tiga dan enam rekod.

“Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat JSJN Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang individu di kawasan Taman Telipok Ria.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan termasuk usaha mengesan pembekal dadah terbabit,” katanya. – Info X