KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki bukan warganegara menggunakan dokumen disyaki palsu bagi memohon Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) membawa padah apabila dia dicekup di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan pegawai penguat kuasa JPN Sabah ketika hadir di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu untuk membuat permohonan menggunakan permit masuk yang diragui kesahihannya.
JPN Sabah dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati dokumen dikemukakan suspek dipercayai palsu sebelum tindakan segera diambil dengan menahannya di lokasi.
“Kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut kerana melibatkan penggunaan permit masuk,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang cubaan memalsukan dokumen rasmi dan tidak akan berkompromi terhadap perbuatan berkenaan.
“JPN Sabah komited memastikan setiap urusan permohonan dokumen pengenalan diri mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – Info X