Search

Tiada siapa boleh persoal keputusan rakyat Sabah bersama Malaysia – Hajiji

March 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah sudah membuat keputusan yang jelas untuk negeri ini menjadi sebahagian daripada Malaysia dan ia tidak boleh dipersoalkan lagi.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung kenyataan terbaharu seorang Senator Filipina yang menggesa kerajaan negara itu menuntut Sabah.

Hajiji mengulangi bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata, isu berkaitan Sabah selalunya timbul di Filipina apabila pilihan raya negara itu semakin hampir sebagai antara bahan politik pemimpin tertentu untuk menarik sokongan.

“Selalu di sana itu (Filipina), kalau dekat-dekat pilihan raya senat mereka, timbullah isu seumpama ini. Tapi, jelas daripada awal lagi negeri Sabah, rakyatnya sudah membuat keputusan untuk bersama-sama Malaysia.

“Ini tidak boleh dipersoalkan lagi, kita adalah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Apa lagi cerita mereka, ini sesuatu yang perlu diperbetulkan, tidak boleh diwar-warkan ataupun dijadikan isu, terutama di pihak sebelah sana (Filipina),” katanya.

Beliau ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang Senator Filipina, Robin Padilla antara lain menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan.

Gesaan itu dikaitkan dengan kedudukan Sabah sebagai sumber minyak ketika negara itu kini berdepan dengan krisis tenaga berikutan perang di Asia Barat.

Kenyataan itu menimbulkan reaksi marah terhadap pemimpin Filipina itu yang disifatkan biadab dan tidak bertanggungjawab, selain dilihat cuba mencabar kedaulatan Malaysia. – Info X