Search

Tujuh rumah terbakar di Kampung Gudon

March 28, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tujuh rumah jenis separuh kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Gudon, Menggatal, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, lima rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi terbakar kira-kira 90 peratus dengan api marak memusnahkan keseluruhan struktur kediaman.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.54 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.10 petang.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu.

“Seramai 23 anggota bersama beberapa jentera termasuk FRT, LFRT, EMRS dan Water Tanker digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan tiga pancutan air yang diperoleh daripada jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.58 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Rumah yang musnah terbakar di Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Willfred Sulai dengan bantuan pelbagai agensi termasuk polis dan Sabah Electricity.

Katanya, setakat ini, kerja-kerja pemadaman dan pemantauan masih dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya.