Search

12 kru warga Indonesia ditahan, bot nelayan dirampas bernilai RM2 juta

March 30, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 12 kru warga Indonesia ditahan selepas dipercayai bekerja tanpa permit sah dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan utara Pulau Manukan, di sini, semalam.

Dalam rondaan kira-kira 0.70 batu nautika dari pulau berkenaan, pasukan penguat kuasa menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang didapati menggunakan kru tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, penahanan dibuat selepas bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 12 kru termasuk nakhoda berada di atas vesel berkenaan.

“Sebahagian daripada mereka disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan Pas Lawatan Sosial tanpa permit kerja sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan turut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa jumlah kru mencukupi seperti ditetapkan.

Katanya, kesemua kru berusia antara 21 hingga 54 tahun itu ditahan sebelum vesel terbabit diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut.

“APMM turut menyita vesel berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2 juta,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan kesalahan imigresen dan keselamatan pelayaran.

“Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal.

“Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera,” katanya. – Info X